PERUNDING TAKAFUL JAMIN PROSPEK KERJAYA YANG STABIL

Heading

Heading

18 Sep 2019

BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Generasi muda dan graduan hari ini digesa merebut peluang menceburi bidang kerjaya sebagai perunding takaful kerana ia menjanjikan prospek kerjaya yang stabil dan potensi meraih lumayan yang tinggi.

Pengurus Agensi Kumpulan Usrah Associates, agensi berdaftar Takaful Ikhlas Family Bhd, Samian Senin berkata kerjaya sebagai perunding takaful kini tidak lagi dipandang rendah kerana mampu menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan iaitu lebih tinggi daripada tawaran gaji kerjaya profesional lain.

Beliau berkata walaupun industri takaful ketika ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan, namun orang ramai mula sedar akan keperluan dan kepentingan takaful menjadikannya permintaan semakin bertambah dari hari ke hari.

"Persaingan (industri takaful) tetap ada dan mencabar, namun ada kelompongan lain yang boleh diisi iaitu orang ramai mula faham peranan dan manfaat polisi takaful seperti memberi perlindungan kewangan saat kritikal seperti sakit, rawatan hospital selain perlindungan kepada aset," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Samian adalah antara ejen-ejen cemerlang Takaful Ikhlas yang menerima 'Anugerah Mega Agensi' (AMA) kali kelima tahun ini, iaitu anugerah tertinggi yang diberikan oleh Takaful Ikhlas kepada ketua agensi yang berjaya mengumpul jumlah caruman berkumpulan tahun pertama terkumpul melebihi RM 3 juta setahun.

Beliau juga pernah memenangi pelbagai anugerah lain sepanjang bersama Takaful Ikhlas antaranya Anugerah Penghasilan Teratas Kategori Pengurus Agensi Kumpulan (Anugerah Takaful Keluarga), Anugerah Penghasilan Unit Langsung Teratas dan Anugerah Million Ringgit Agency (MRA).

Berkongsi rahsia menjadi perunding takaful yang berjaya, Samian yang telah bersama Takaful Ikhlas selama 16 tahun berkata beliau sentiasa komited dan berani mengambil risiko dalam setiap apa cabaran yang dihadapinya.

"Takaful ini juga adalah salah satu cabang perniagaan jadi saya tidak lari dari faktor jatuh bangun. Saya pernah kehilangan ramai perunding terlatih di bawah agensi saya yang telah dipancing pihak luar. Bagaimanapun, saya teruskan juga dan percaya kepada rezeki," katanya.

Mengulas lanjut, Samian yang juga bekas pegawai bank berkata graduan yang berminat dengan dunia perniagaan takaful tidak perlu takut sekiranya mereka tidak ada ilmu tentang kerjaya itu kerana mereka akan dilatih sehingga menjadi perunding takaful yang profesional dan beretika.

Malah katanya perniagaan takaful dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia bagi memastikan perniagaan yang dijalankan secara berhemat tanpa menjejaskan kepentingan peserta dan industri.

"Mereka perlu menghadiri kursus latihan bagi mempelajari skil selain juga perlu mengikuti Continuing Professional Development (CPD) bagi meningkatkan pengetahuan semasa dan kompentesi bagi menjadi perunding takaful yang profesional," katanya.

Seorang lagi ejen cemerlang Zaiton Osman yang menawarkan perkhidmatan Insurans dan Takaful Am berkata beliau sentiasa mempelbagai kaedah perniagaannya bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan pantas kepada pelanggannya.

"Pendekatan dalam perniagaan ini dahulu dan sekarang adalah berbeza, jadi kami perlu bekerja keras dengan menggunakan pelbagai ruang platform seperti media sosial bagi menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Zaiton yang juga merupakan ibu tunggal berkata, kerjaya sebagai perunding takaful juga telah memberikan kepuasan kepadanya apabila menjanjikan kewangan yang lebih baik termasuk memilik kereta mewah selain juga berpeluang melancong ke luar negara.

Heading

Heading