Takaful Ikhlas lancar dua produk baharu

Heading

Heading

19 Nov 2020

KUALA LUMPUR – Takaful Ikhlas Family Bhd., anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd. telah melancarkan dua produk perlindungan baharu iaitu Ikhlas Bersama dan Ikhlas Dariku.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azman Zainal berkata, Produk Ikhlas Bersama merupakan pelan perlindungan semua dalam satu dan mampu milik untuk setiap lapisan masyarakat. 

“Produk ini menyediakan perlindungan asas untuk kematian

yang boleh ditambah dengan aneka pilihan perlindungan komprehensif tambahan (rider) yang mana pelanggan dapat ‘pilih dan padan’ mengikut keperluan masing-masing,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam. 

Pelancaran produk tersebut disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada majlis perasmian Minggu Saham Digital (MSD) 2020 secara maya di sini semalam.

Produk Ikhlas Dariku pula adalah produk perlindungan yang menumpukan kepada pemberian hibah. 

Bertujuan memberi jaminan kepada orang yang tersayang, Ikhlas Dariku juga memberikan manfaat kematian tambahan yang mana waris akan diberikan bayaran tambahan sebanyak 100 peratus daripada amaun perlindungan asas untuk kematian akibat kanser.

Selain itu, pelanggan akan mendapat tambahan 200 peratus daripada amaun perlindungan asas untuk kematian akibat kemalangan dan tambahan 300 peratus daripada amaun perlindungan asas sekiranya peserta meninggal dunia semasa menunaikan ibadat haji atau umrah.

“Produk Ikhlas Bersama dan IkhlasDariku ini direka buat semua lapisan masyarakat bagi memudahkan mereka memiliki pelan perlindungan takaful yang lebih komprehensif dan fleksibel serta kekal relevan dalam pasaran yang kompetitif,” jelasnya.

Sempena MSD juga, Takaful Ikhlas telah mengatur pelbagai aktiviti dan promosi menarik sepanjang berlangsungnya MSD pada 18 hingga 24 November ini. 

Orang ramai yang mendapatkan produk-produk Takaful Ikhlas sepanjang tempoh MSD akan layak menyertai Cabutan Rezeki Ikhlas dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik.

Antaranya ialah Apple 10.9-inch iPad Air, Dyson Pure Cool Air Purifier Tower Fan dan Apple Watch SE GPS.

Heading

Heading