Bank Rakyat raikan pelanggan bertuah

Heading

Heading

23 Oct 2018

Kosmo

KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan Ar-Rahnu Bank Rakyat tidak menyangka tuah miliknya apabila membawa pulang jongkong emas menerusi Kempen Emas Satu Kilo anjuran bank tersebut baru-baru ini.

Hamidah Abd. Wahid dari Subang Perdana, Selangor menerima jongkong emas seberat satu kilogram sebagai hadiah utama kempen tersebut. Empat pemenang bertuah lain pula masing-masing menerima hadiah barang-barang kemas yang kesemuanya bernilai RM26,000.

Menurut Hamidah, dia memilih Ar-Rahnu kerana yakin dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Perkhidmatan ini telah membantu memudahkan urusan pengajian anak-anak saya," katanya selepas menerima hadiah berkenaan pada satu majlis di Menara Bank Rakyat di sini.

Pada majlis sama, Bank Rakyat turut menyampaikan hadiah bagi pemenang dua kempen lain iaitu Kempen Beli Rumah Dapat Kereta dan Kempen #BankRakyatCares. Hadiah utama Kempen Beli Rumah Dapat Kereta yang dianjurkan bank tersebut dengan kerjasama Takaful Ikhlas dimenangi Nazitam Ya'akub dari Bachok, Kelantan.

Nazita membawa pulang sebuah kereta Honda Accord 2.0. Bagi kempen #BankRakyatCares pula, seramai 27 orang pemenang menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan pakej percutian.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Bank Rakyat, Datuk Amiruddin Abdul Halim berkata, Bank Rakyat akan sentiasa menambah baik kempen yang sedia ada bagi menghargai pelanggan yang setia memilih produk dan perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya.

Heading

Heading