Perunding takaful perlu tunai amanah besar

Heading

Heading

28 Oct 2018

Berita Harian Ahad

Dalam industri takaful, perantara lebih dikenali sebagai perunding takaful atau ejen yang dilantik pengendali takaful untuk berkhidmat bagi pihak mereka.

Melalui ejen ini, pelanggan akan memperoleh polisi insuran atau sijil takaful.  Semua perunding takaful mempunyai peranan dan tanggungjawab berterusan kepada pelanggan serta pengendali takaful selagi kontrak perjanjian ditandatangani antara kedua pihakmasih berlangsung.

Perunding takaful memainkan peranan sangat besar dalam menjadi perantara mempromosikan produk takaful kepada masyarakat.  Namun, mereka hanya boleh bertindak mengikut had kuasa diberi pengendali yang diwakilinya.

Tidak semua perunding takaful boleh memasarkan semua produk dan tidak semua produk boleh dipasarkan oleh perunding takaful. Sebagaimana setiap syarikat dan perniagaan perlu berdaftar, begitu juga peraturan sama terpakai ke atas semua perunding takaful.

Bagi melayakkan mereka menjadi ejen takaful berdaftar yang sah, mereka perlu lulus Peperiksaan Asas Takaful (TBE), iaitu kelayakan wajib untuk meningkatkan kecekapan dan tahap profesionalisme setiap perunding takaful yang dikawal selia Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).

Perunding takaful juga perlu bertanggungjawab terhadap Pengendali Takaful dan pelanggan dalam memastikan industri takaful tidak tercemar dengan pelbagai masalah salah laku urus niaga, penipuan dan penganiayaan ke atas pelanggan.

 

Fahami konsep berlaku adil

Jika dalam urusan jual beli barang sering timbul masalah penipuan dalam sukatan dan timbangan, maka dalam urusan pemasaran perkhidmatan takaful pula biasanya banyak berlaku masalah ketidakjujuran perunding takaful dalam mempromosikan produk mereka yang akhirnya merugikan pelanggan.

Dalam erti kata lain, perunding takaful perlu menjaga kebajikan kedua-dua pihak yang diwakili dan memahami konsep berlaku adil, iaitu terhadap pengendali dan pelanggan.

Penekanan berlaku adil ini disebut banyak kali dalam al-Quran seperti firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan segala amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaikbaiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa: 58)

 

Tanggungjawab besar

Ternyata peranan dan tanggungjawab perunding takaful sangat besar dalam memperkenalkan produk kepada umum serta memajukan industri takaful, sekali gus mengembangkan cabang ekonomi Islam hari ini.

Peranan perunding takaful boleh dirumuskan kepada enam.

Pertama, sentiasa berusaha memastikan setiap pelan perlindungan dicadangkan memenuhi kehendak pelanggan dan bersesuaian dengan keperluan mereka. Pada masa sama, aspek kemampuan ekonomi pelanggan mesti diambil kira demi memastikan mereka menyertai pelan perlindungan berlandaskan kemampuan kewangan.

Kedua, memberi penerangan jelas terhadap pelan perlindungan yang dicadangkan bagi memastikan Pelanggan memahami pelan disertai.

Ketiga, menjelaskan risiko, terma dan syarat berkaitan dengan setiap sijil atau penyertaan yang ditandatangani pelanggan.

Keempat, tidak membuat kenyataan tidak tepat atau mengelirukan mana-mana pihak, manakala kelima adalah tidak menawarkan sebarang ganjaran, sumbangan, komisyen, insentif atau rebat yang tidak disebut dalam kontrak kepada pelanggan sebagai balasan penyertaan.

Keenam, menerangkan sijil berkaitan pelan pelaburan dengan penerangan jelas berkenaan nilai unit dan nilai faedah yang boleh berubah mengikut ekonomi semasa serta kesan pemilihan tabung pelaburan kepada caruman pelanggan.

Hakikatnya, perlu difahami semua perunding takaful perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab tidak hanya berlandaskan peraturan serta mengikut garis panduan dikeluarkan Bank Negara Malaysia, sebaliknya terikat dengan hukum ditetapkan Allah SWT.                                                                                                                             

Penulis daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Berhad.

Heading

Heading