Maria kongsi kisah rumah 7 tingkat

Heading

Heading

19 Nov 2018

Berita Harian

Maria Tunku Sabri berkongsi dengan pengunjung Pameran Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Ipoh Klebang, di sini, semalam mengenai kisah rumah tujuh tingkat miliknya yang viral di media sosial.

Kehadirannya untuk sesi kedua selepas membuat demo masakan sebelum itu sekali lagi menggamit kehadiran pengunjung ke lokasi pameran untuk mendengar mengenai kisah rumahnya itu.

Maria ketika sesi bersama pengunjung berkata, rumah miliknya itu viral selepas beliau mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dengan menjemput rakan artis dan saudara-mara.

“Rumah saya ini diviralkan dua beradik artis iaitu Sharifah Shahira dan Sharifah Shahora, saya pun terkejut apabila keesokannya selepas rumah terbuka itu, rumah saya menjadi viral.

Tanah hadiah mentua
“Itu adalah rumah kedua saya selepas rumah pertama di Subang Jaya yang dibeli 20 tahun lalu, rumah tujuh tingkat ini dibina atas tanah yang dihadiahkan bapa dan ibu mentua kepada kami,” katanya.

Maria berkata, proses pembinaan rumah itu diatas tanah di lereng bukit itu pada awalnya turut menghadapi masalah kerana perlu melakukan pelbagai ujian tanah disebabkan struktur tanah di lereng bukit.

Katanya, ujian yang dilakukan itu menelan kos yang banyak dan bagi setiap ujian itu membabitkan kos antara RM3,000 ke RM5,000.

Dalam perkongsiannya itu, Maria turut menyampaikan pelbagai panduan membeli rumah berdasarkan pengalamannya, termasuk apa yang perlu dilakukan pembeli selepas menerima kunci rumah.

Beliau sebelum itu turut mengadakan demonstrasi masakan dan memberi peluang pengunjung merasa masakannya yang diberi nama ‘Kerabu Kasih Sayang Maria’ selain mengadakan pelbagai aktiviti dengan pengunjung.

Hari terakhir penganjuran pameran selama tiga hari itu turut diisi dengan dua slot ceramah daripada pakar hartanah, Franciss Chin dan Aziz Ahmad dengan dua tajuk Bagaimana Anda Boleh Jimat Faedah Pinjaman Sehingga 80 Peratus Daripada Faedah Jumlah Pinjaman’ serta Teknik Beli Rumah Lagi Dan Lagi. Sebanyak enam pemaju mengambil bahagian pada siri ke-5 pameran itu iaitu SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Rima Properties Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd dan P K Lee Sdn Bhd.

Selain itu, syarikat bukan pemaju yang mengambil bahagian pula ialah Takaful Ikhlas Berhad.

Heading

Heading