TAKAFUL IKHLAS TUKAR LESEN KOMPOSIT KEPADA LESEN BERASINGAN UNTUK PERNIAGAAN TAKAFUL KELUARGA DAN AM

Heading

Heading

30 Nov 2018

Kuala Lumpur, 30 November 2018 -Takaful Ikhlas Berhad hari ini mengumumkan penukaran lesen takaful kompositnya kepada dua entiti untuk menguruskan perniagaan takaful keluarga dan perniagaan takaful am secara berasingan. Ini adalah selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam, 2013 (IFSA).

Takaful Ikhlas Berhad, kini dikenali dengan nama baharu Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS Family) yang menguruskan perniagaan takaful keluarga. Perniagaan takaful amnya akan diuruskan oleh entiti baru, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS General). Langkah ini dirangka untuk membawa pendekatan yang lebih fokus dan terbaik  dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan. Struktur baru ini juga mencerminkan komitmen Takaful IKHLAS terhadap perniagaannya dalam memastikan pengurusan modal dan sumber yang cekap untuk mewujudkan peluang pertumbuhan yang berterusan.

Untuk memimpin struktur korporat baharu ini, Lembaga Pengarah telah mengumumkan pelantikan Encik Mohd Din Merican sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Family dan Encik Eddy Azly Abidin sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS General. Encik Eddy Azly sebelum ini merupakan Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Am Takaful IKHLAS. Bagi Encik Din Merican pula, pelantikan ini adalah merupakan tambahan kepada peranan beliau sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad.

"Walaupun kami kini beroperasi sebagai dua entiti yang berasingan, kami akan terus membawa jenama "Takaful IKHLAS" dan komited dalam memberikan yang terbaik kepada para pelanggan  dan memacu nilai jangka panjang pemegang saham," kata Mohd Din Merican.

"Semua terma dan syarat sijil takaful sedia ada yang dikeluarkan oleh Takaful IKHLAS dikekalkan. Kesemua butiran perhubungan serta pejabat cawangan kami dikekalkan bagi memudahkan urusan pelanggan kami”, tambahnya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Takaful IKHLAS Family dan Takaful IKHLAS General, para pelanggan boleh melayari www.takaful-ikhlas.com.my atau menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Takaful IKHLAS di 03-2723 9696 untuk maklumat lanjut.

Heading

Heading