RIBUAN PENGUNJUNG PEROLEH ILMU BAHARU

Heading

Heading

23 Apr 2019

Berita Harian

Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 yang dianjurkan di Amanjaya Mall sejak Jumaat lalu, memikat ribuan pengunjung.  Tinjauan sejak jam 9 pagi semalam, mendapati orang ramai memenuhi tapak acara bagi mengikuti program dan acara disediakan.

Seorang pengunjung yang juga peniaga, Shamsul Mat Saad, 34, mengambil peluang berkunjung acara itu bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan pelaburan dan pengurusan kewangan.  “Selama ini saya hanya menyimpan wang dalam bank kerana tidak mengetahui dengan jelas mengenai kebaikan menyimpan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Selepas didedahkan ilmu pelaburan di sini, saya lebih yakin untuk memanfaat wang simpanan pada saluran yang dapat memberi pulangan lebih baik,” katanya ketika ditemui, semalam.  Norshafiza Che Had, 36, berkata biarpun sudah lama mempunyai simpanan dalam ASB, kunjungan ke MSAM 2019 memberi ilmu baharu berhubung urusan simpanan.

“Banyak ilmu baharu diperoleh sepanjang mengikuti aktiviti disediakan di sini, antaranya mengenai kuasa kompaun pada simpanan yang dilakukan.

“Pengunjung turut didedahkan dengan simpanan yang boleh dilakukan oleh pelajar, sekali gus dapat membantu ibu bapa merancang simpanan wang demi masa depan anak masing-masing,” katanya.

Pensyarah, Mohd Hafiy Johari, 25, berkata MSAM 2019 membantunya mengetahui dengan lebih lanjut mengenai saham, cara untuk melabur juga risiko yang menanti pelabur.

“Kini saya lebih memahami dan mengetahui peluang pelaburan saham, selain cara pengurusan kewangan lebih baik walaupun terikat komitmen pinjaman pendidikan, kenderaan dan sebagainya,”katanya.

 

Program MNRB Ringgit Savvy

Sementara itu, 153 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kuala Sin di sini, menyertai Program MNRB Ringgit Savvy anjuran MNRB Holdings Berhad (MNRB), yang menumpukan kepada permainan interaktif pelaburan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2019 (MSAM) di sekolah itu, semalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Mohd Din Merican, berkata program itu memberi pendedahan awal kepada murid aspek menabung dan kae - dah bijak pengurusan wang.

Katanya, murid didedahkan aktiviti memerlukan mereka bekerjasama membuat keputusan serta menjawab soalan berkaitan melabur dan kepentingan menyimpan wang.

“MNRB Ringgit Savvy adalah usaha dan cara kami menggalakkan murid suka menabung pada usia muda, selain memberi pendedahan mengenai asas pelaburan dengan cara paling mudah dan interaktif.

“Ia diharap mendidik mereka bijak menguruskan kewangan sejak usia muda,” katanya selepas Majlis Penyerahan Unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di sekolah berkenaan, semalam.

Heading

Heading