TAKAFUL IKHLAS DAN UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN MIKRO TAKAFUL TANI MAMPU MILIK

Heading

Heading

11 Mar 2020

Kuala Lumpur, 11 Mac 2020 – Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini memetarai jalinan kerjasama penyelidikan mikro takaful tani mampu milik untuk peladang dan pekebun kecil di Malaysia.

Melalui jalinan kerjasama ini, Takaful IKHLAS akan memberikan geran kepada pihak UniSZA bagi menjalankan penyelidikan berkaitan dengan  skim mikro takaful tani di Malaysia untuk tempoh masa selama 6 bulan.

Penyerahan pembiayaan penyelidikan ini telah disempurnakan oleh Encik Eddy Azly Abidin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad kepada Profesor Dato' Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan, Naib Canselor UniSZA.

“Melalui penyelidikan ini, kedua-dua pihak. akan bekerjasama bagi memenuhi keperluan peladang dan pekebun kecil di Malaysia,” Eddy Azly Abidin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad

“Dengan adanya kajian skim atau pelan perlindungan mikro takaful tani mampu milik ini, ianya akan dapat memberi perlindungan dan manfaat atas kerugian akibat kerosakan tanaman para peladang dan pekebun kecil yang disebabkan oleh bencana alam seperti kemarau atau banjir. Diharapkan jalinan kerjasama ini dapat membantu memperluaskan industri takaful di Malaysia dengan menawarkan produk inovatif kepada masyarakat. Ini selaras dengan visi Takaful IKHLAS iaitu, KAMI MELINDUNGI ANDA,” kata Eddy Azly.

Jalinan kerjasama ini merupakan salah satu inisiatif pengantaraan berasaskan nilai atau value based intermediation (VBI) daripada Takaful IKHLAS yang bermatlamat untuk memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling. Pada 1 April, 2019, “IKHLAS Waqf & Endowment” (IWE) iaitu satu inisiatif kemasyarakatan Takaful IKHLAS yang menggalakkan sumbangan sosial dan juga berasaskan VBI telah dilancarkan.

Heading

Heading