Terap 4 akhlak wakil takaful

Heading

Heading

25 Nov 2018

Berita Harian Ahad

Akad perwakilan atau wakalah dalam bahasa Arab bukanlah asing dalam masyarakat. Tidak kira beragama Islam atau tidak, berurusan dengan pihak lain menggunakan akad perwakilan adalah hal yang biasa.

Dari sudut bahasa, ia bermaksud memelihara, menjaga, menjamin, menyerahkan dan mengganti. Bagi kebanyakan syarikat pengendali takaful, adalah hal yang biasa menggunakan akad perwakilan dalam menjalankan operasi mereka dengan sekurangkurangnya terdapat dua kaedah.

Pertama, hubungan antara peserta dan pengendali takaful iaitu peserta menjadi pewakil, pihak yang mewakilkan urusannya kepada pihak lain. Peserta mewakilkan kepada pengendali takaful untuk mengendalikan sumbangan, sekali gus menjadi wakil untuk mentadbir dan mengurus sumbangan ke dalam tabung yang akan digunakan sebagai dana membantu peserta takaful ditimpa musibah.

Dana itu tidak menjadi hak milik syarikat tetapi kepunyaan peserta sehingga ia dibayar kepada peserta ditimpa musibah. Pengendali takaful hanya bertanggungjawab menguruskan tabung mengikut kepakaran selari prinsip syariah.

Sebagai balasan, pengendali takaful berhak mendapat upah daripada peserta berdasarkan perjanjian dimeterai pada permulaan kontrak.

Kedua, dari sudut hubungan antara pengendali dan ejen takaful. Pengendali takaful akan menggunakan khidmat ejen atau dikenali wakil takaful untuk mempromosikan produk dan pengendali takaful membayar komisyen sebagai upah.

Sebagai wakil, kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab sangat besar kerana diberikan amanah dan dibayar upah oleh pihak pewakil masing-masing.

Kedua-dua pihak perlu memahami mereka sebahagian pasukan yang akan menyumbang ke arah aplikasi sistem kewangan Islam secara syumul, melakukan amar makruf nahi mungkar serta membantu individu mendapatkan perlindungan terhadap keluarga dan harta bendanya.

Mereka perlu memastikan setiap individu yang terbabit sebagai wakil takaful mempunyai akhlak dan etika. Antaranya, wakil perlu ada sifat siddiq (benar) dalam mengendalikan tabung peserta.

Setiap transaksi dibuat dan upah diambil perlu dilaksanakan secara telus serta mengikut perjanjian dipersetujui bersama.

Jika ada upah ditolak, pengendali takaful dan ejen perlu memaklumkannya kepada peserta sebelum mereka menandatangani sebarang kontrak.

Pikul amanah
Akhlak kedua ialah amanah. Peserta melantik pengendali untuk memikul amanah bagi mewakili mereka dalam menguruskan sumbangan. Setiap tindakan pihak syarikat pasti dipertanggungjawabkan kelak.

Begitu juga ejen takaful yang mesti melaksanakan tugasan diamanahkan dengan bersungguh- sungguh kerana diberikan upah oleh pengendali takaful.

Usah melakukan penipuan dan penyelewengan sehingga menjejaskan reputasi syarikat. Ini akan merosakkan imej system kewangan Islam, bahkan menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Akhlak ketiga ialah tabligh (menyampaikan). Wakil takaful perlu menggunakan peluang bertemu prospek untuk menyampaikan kelebihan takaful kepada masyarakat.

Dalam takaful, konsep tabaruk, iaitu pemberian tanpa mengharapkan balasan diterapkan apabila peserta melakukan ‘sedekah kelas pertama’ bagi membantu peserta ditimpa musibah.

Peserta juga dapat mengelakkan diri daripada elemen bercanggah dengan syariah Islam seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (perjudian) dan riba.

Untuk menyampaikan kebenaran, mereka perlu menggunakan kaedah paling berhikmah.

Wakil takaful perlu mempunyai akhlak keempat, iaitu fatanah (bijaksana). Jangan tergesa-gesa berhadapan prospek sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni.

Kesimpulannya, masih banyak akhlak perlu diterapkan wakil takaful sama ada pengendali takaful ataupun ejen. Keempat-empat akhlak ini boleh dijadikan teras atau tunjang utama dalam memainkan peranan masing-masing.

Heading

Heading