Pengunjung mahu pameran diteruskan

Heading

Heading

18 Nov 2018

Berita Harian Ahad

Hari kedua Pameran Hartanah MyRumah 2018 yang sedang berlangsung di AEON Mall Ipoh Klebang di sini semalam, menerima maklum balas baik daripada pengunjung yang rata-rata mereka mahu ia diteruskan.

Pengunjung, Muhamad Zaidi Mat Saad, 34, berkata penganjuran pameran hartanah oleh The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu dilihat dapat membantu pembeli rumah membeli rumah di negeri ini.

Beliau yang bertugas sebagai jurutera, sedang mencari rumah kedua untuk didiami di negeri ini selepas membeli kediaman di Lembah Klang sebagai aset masa hadapan.

“Pameran ini memang bermanfaat dan saya berharap penganjur diteruskan tahun hadapan kerana ia bukan sahaja memberikan peluang kepada pengunjung memilih rumah diingini, tetapi turut mendapat ilmu melalui slot ceramah disediakan.

Tambah jumlah pemaju
“Cuma saya berharap jumlah pemaju dapat ditambah pada masa akan dating bagi memberikan peluang kepada pengunjung memilih rumah yang diingini, termasuk memperbanyakkan rumah dengan harga mampu milik,” katanya ketika ditemui pada program itu semalam.

Muhamad Zaidi turut mengucapkan tahniah kepada NSTP kerana menganjurkan program berfaedah itu dan mengisi slot sepanjang program dengan pelbagai ceramah yang memberikan input dari setiap aspek mengenai rumah kediaman.

Semalam, empat slot ceramah diadakan membabitkan beberapa tajuk seperti 5 Design Trend 2019; Jom Tackle Bank; Lima Tertib Duit Sebelum Melabur Hartanah dan Bagaimana Membeli Hartanah Sebelum Umur 25 tahun.

Antara penceramah yang tampil berkongsi pengalaman ialah Amin Yusoff; Bella Leanna; Azim Sulaiman dan Hasnain Hasanan.

Pada pameran selama tiga hari bermula kelmarin hingga hari ini, enam pemaju mengambil bahagian iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), SPNB Aspirasi Sdn Bhd; Rima Properties Sdn Bhd, Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd dan P K Lee Sdn Bhd, manakala serta syarikat bukan pemaju yang turut mengambil bahagian adalah Takaful Ikhlas Berhad.

Peroleh ilmu baharu
Seorang lagi pengunjung, Vincern Yeoh, 63, berkata dia mendapat banyak idea serta ilmu baharu mengenai rumah selepas mendengar beberapa siri ceramah hari ini.

“Saya dapat banyak idea untuk menyusun atur rumah daripada ceramah diadakan dan ilmu seperti ini bukan senang hendak peroleh di luar, jadi program seperti ini memang baik.

“Saya sudah ada satu rumah, tetapi suka untuk melihat dan menambah ilmu dalam bidang hartanah ini kerana ia boleh dimanfaatkan untuk ahli keluarga lain,” katanya yang turut menyertai aktiviti disediakan.

Heading

Heading