MyRumah catat tempahan lebih RM10j

Heading

Heading

19 Nov 2018

Berita Harian

Pameran Hartanah MyRumah 2018 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di AEON Mall Ipoh Klebang, yang berakhir semalam, berjaya memperoleh nilai tempahan hartanah lebih RM10 juta sepanjang tiga hari penganjurannya.

Catatan nilai tempahan itu tidak termasuk jumlah pembeli berpotensi yang dijangka disusuli selepas ini oleh pihak pemaju yang mengambil bahagian pada pameran itu.

Sebanyak enam pemaju mengambil bahagian pada siri kelima pameran itu iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Rima Properties Sdn Bhd, Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd dan P K Lee Sdn Bhd.

Selain itu, syarikat bukan pemaju yang mengambil bahagian pula ialah Takaful Ikhlas Berhad.

Pandangan menggalakkan Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP, S Linggaraj, berkata secara keseluruhan pihak NSTP berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh pengunjung pusat belibelah berkenaan.

“Secara keseluruhan, pandangan daripada pengunjung juga amat menggalakkan, pemaju yang mengambil bahagian juga sangat gembira dengan apa yang diperoleh setakat ini.

“Sambutan yang diberikan pengunjung amat menggalakkan termasuk daripada acara yang dianjurkan, kita dapat lihat pengunjung gembira dan menyertai semua acara diadakan,” katanya.

Linggaraj berkata, NSTP juga merancang untuk memberikan lebih manfaat kepada bakal pembeli rumah sekiranya program itu dianjurkan pada masa hadapan.

“Perancangan untuk tahun akan datang, kami ingin memberikan lebih manfaat kepada pembeli rumah seperti meminta pihak penjual hartanah ini memberikan lebih diskaun harga atau kemudahan perbankan.

Mudah proses belian
“Ia bagi memudahkan proses pembelian dan perkara ini akan dibincangkan dengan pemaju perumahan yang mengambil bahagian,” katanya.

Program selama tiga hari itu turut diisi dengan program ceramah yang disampaikan oleh pakar hartanah bertujuan memberikan ilmu pengetahuan kepada pengunjung.

Antara ceramah disediakan membabitkan tajuk 5 Design Trend 2019, Jom Tackle Bank, Lima Tertib Duit Sebelum Melabur Hartanah, Bagaimana Membeli Hartanah Sebelum Umur 25 tahun, Bagaimana Anda Boleh Jimat Faedah Pinjaman Sehingga 80 Peratus Daripada Faedah Jumlah Pinjaman dan Teknik Beli Rumah Lagi Dan Lagi. Antara penceramah ialah Amin Yusoff, Bella Leanna, Azim Sulaiman, Hasnain Hasan, Franciss Chin dan Aziz Ahmad selain dimeriahkan dengan personality TV, Maria Tunku Sabri

Heading

Heading