Kota Bahru, 1 Jun 2009 –Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS), syarikat penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan yang menawarkan pelbagai produk perlindungan yang inovatif berasaskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam, hari ini telah mengadakan seminar bersama dengan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia serta menyampaikan hadiah untuk Cabutan Bertuah bagi Kempen Baiti Jannati untuk kakitangan sektor awam bagi suku tahun terakhir 2008/2009 di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Seminar yang diajurkan oleh Takaful IKHLAS bersama dengan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia ini adalah untuk memberi taklimat dan menyalurkan maklumat kepada penjawat-penjawat awam yang berada di negeri Pantai Timur mengenai perkhidmatan Takaful IKHLAS terutamanya yang berkaitan dengan Bahagian Pinjaman Perumahan.
Menurut Dato’ Haji Syed Moheeb bin Syed Kamarulzaman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, berkata “Kami berharap dengan adanya seminar ini, ianya dapat membantu kakitangan-kakitangan awam yang berada di negeri Terengganu dan Kelantan mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengenai perkhidmatan perlindungan perumahan di bawah skim Pinjaman Perumahan Perbendeharan,” jelas beliau.
“Sejajar dengan seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat berbelanja demi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan juga keperihatinan pihak Syarikat yang meletakkan kesejahteraan para peserta sebagai perkara yang utama, pihak Syarikat pada hari ini telah mengembalikan Kempen IKHLAS Insentif Tunai dan memperkenalkan secara terperinci kepada kakitangan-kakitangan sektor awam yang bertugas in Pantai Timur. Kempen ini telah di lancarkan kembali dengan rasminya minggu lalu oleh Setiausaha Bahagian Pinjaman Perumahan iaitu YBhg Dato’ Shuib Md Yusof,” tambah Syed Moheeb.
Kempen Instentif Tunai ini adalah kempen yang dianjurkan di bawah pelan IKHLAS Takaful Gadaijanji (MRTT) dan IKHLAS Takaful Pemilik Rumah (Houseowner) kepada peminjam-peminjam skim pinjaman perumahan perbendaharaan yang terdiri daripada kakitangan sektor awam.
“Kakitangan sektor awam yang memilih pelan ini akan mendapat pulangan hebat, iaitu hadiah tunai sebanyak 5 peratus daripada caruman Ikhlas Takaful Gadaijanji mereka. Dengan ini, secara tidak langsung, kakitangan sektor awam akan mempunyai wang lebihan yang boleh digunakan untuk keluarga dan rumah baru mereka. Sedikit sebanyak Kempen IKHLAS Insentif Tunai ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan mereka. Takaful IKHLAS juga merasakan dengan cara ini, Syarikat dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dan juga berterima kasih kepada kakitangan awam yang telah memilih Takaful IKHLAS sebagai penyedia perlindungan takaful mereka,” jelas Syed Moheeb.
Semasa seminar ini juga, Pihak Syarikat Takaful IKHLAS telah menyampaikan hadiah Cabutan Bertuah Kempen Baiti Jannati bagi Suku Tahun Terakhir 2008/09 untuk lima orang pemenang-pemenang yang berasal daripada negeri Kelantan dan Terengganu yang juga merupakan kakitangan kerajaan.
Pemenang hadiah baucer pakej yang berupakan peralatan rumah yang bernilai
RM5,000.00 telah di menangi oleh En. Rahim Bin Ismail yang berasal dari negeri Terengganu manakala pemenang hadiah baucer pakej peralatan rumah yang bernilai RM1,000.00 di bawa pulang oleh Pn. Kasmawati binti Mohd Zain yang berasal daripada Jeli, Kelantan. Pemenang-pemenang deposit tabung haji berjumlah RM500.00 pula telah dimenangi oleh Pn Maimom binti Mat Jusoh, Pn. Noor Asiah binti Wan Yaccob dan juga Pn Nor Asiah binti Jusoh.
Kempen Baiti Jannati yang bermaksud Rumahku Syurgaku ini telah dilancarkan buat pertama kalinya pada 19 April 2008. Ianya diadakan bagi menarik minat kakitangan kerajaan untuk memilih Takaful IKHLAS sebagai penyedia Takaful mereka menerusi produk IKHLAS Takaful Gadaijanji & Pemilik Rumah. Sebagai insentif kepada mereka yang telah memilih Takaful IKHLAS, pihak Syarikat telah melancarkan Kempen Baiti Jannati yang istimewa ini.