Takaful IKHLAS Salur Bantuan Kepada Keluarga Miskin
Bernama, 13 Aug 2012
SUNGAI BULOH, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang ibu yang membesarkan 10 orang anak mengalirkan air mata tanda syukur dengan kunjungan mengejut Takaful Ikhlas Sdn Bhd ke rumahnya sebelum waktu berbuka puasa hari ini bagi menyalurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan harian.
Penerima bantuan tersebut, Kamariah Talib,45, yang hanya bekerja sebagai pembuat mee di sebuah kilang berdekatan rumahnya, melahirkan kesyukuran atas keprihatinan Takaful Ikhlas.
"Mak cik rasa gembira sangat sebab tak sangka dapat kejutan macam ni... Pusat Zakat Selangor sudah sediakan semua persiapan raya anak-anak jadi duit ini mak cik akan simpan untuk kegunaan mereka pada masa akan datang," katanya kepada pemberita semasa program tanggungjawab sosial korporat Takaful Ikhlas yang dipanggil 'Terjah Iftar Baraqah' bersama Pusat Zakat Selangor (PZS), di Kampung Sungai Plong, Sg Buloh, hari ini.
Takaful Ikhlas memperuntukkan sumbangan zakat sebanyak RM500 dan barangan keperluan harian bernilai RM500 bagi persediaan menyambut Syawal yang tinggal empat hari lagi.
Kamariah yang bekerja di kilang pembuatan mee selama sembilan tahun berkata beliau kini menyara enam orang anak berusia 17 hingga enam tahun dan kesemua mereka masih bersekolah dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.
Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Jabatan Pematuhan Syariah Takaful Ikhlas Sdn Bhd Wan Jemizan Wan Deraman berkata program tersebut bertujuan menyemai perasaan saling membantu sesama umat Islam.
"Program seperti ini dapat mendekatkan Takaful dengan masyarakat serta keuntungan yang kami dapat dikongsi bersama golongan yang memerlukan bantuan," katanya.
Takaful Ikhlas dengan kerjasama Pusat Zakat Selangor buat julung kalinya pada tahun ini mengadakan kunjung mengejut ke beberapa rumah keluarga miskin yang dikenal pasti oleh PZS sepanjang bulan Ramadan.
-- BERNAMA
|
|