Anak- Anak Asnaf Diberi Peluang Saksi Kerja-Kerja Cerap Anak Bulan Ramadan
Bernama, 19 Jul 2012
19 Julai (Bernama) -- Seramai 30 orang anak-anak asnaf di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini berpeluang menyaksikan kerja-kerja pencerapan anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan berpuasa, di sini hari ini.
Majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu diadakan dengan kerjasama antara Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta LZS.
Turut hadir Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Mamat Said, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Tan Sri Ibrahim Lembut dan Naib Presiden Akademi IKHLAS, Ismail Basar.
Kenyataan akhbar Takaful IKHLAS yang diedar pada majlis itu berkata program itu bagi memberi peluang kepada anak-anak asnaf merasai sendiri kerja pencerapan anak bulan Ramadan.
"Selain itu ia juga bertujuan mendedahkan tentang kepentingan pencerapan hilal Ramadan mengikut falsafah Islam serta korelasinya dengan sains dan teknologi," kata kenyataan itu.
Pada majlis sama, Takaful IKHLAS turut menyampaikan sumbangan zakat dan bingkisan Ramadan kepada anak-anak asnaf itu.
-- BERNAMA
|
|