MNRB Teroka Peluang Baharu
Utusan Malaysia, 26 Apr 2012
Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN ekonomi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 April- MNRB Holdings Bhd. (MNRB) di bawah nakhoda baharu, Mohd. Din Merican (gambar) yang dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan akan terus meneroka peluang-peluang perniagaan baharu bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan di dalam industri takaful, takaful semula dan insurans semula.
Mohd. Din berkata, walaupun mempunyai pelbagai perancangan untuk membawa MNRB lebih jauh, namun beliau tetap perlu berhati-hati dengan ketidaktentuan iklim ekonomi global ketika ini.
"Kami perlu berhati-hati untuk meluaskan perniagaan dan ia tidak perlu dilakukan secara terlalu agresif kerana apa yang penting kita berkembang secara bijak.
"Banyak perkara yang perlu diberi pertimbangan, antaranya lokasi dan keadaan ekonomi semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
MNRB ketika ini mempunyai perniagaan di Dubai menerusi anak syarikatnya, Malaysian Re (Dubai) Ltd. (MRDL) yang menaja jamin perniagaan insurans semula bagi Malaysian Re dan memberi perkhidmatan kepada rakan-rakan perniagaan Malaysian Re di Asia Tengah dan Afrika Utara.
Syarikat pegangan pelaburan yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu memiliki beberapa anak syarikat milik penuh di dalam industri insurans semula dan takaful tempatan iaitu syarikat insurans semula am, Malaysian Reinsurance Bhd. (Malaysian Re), syarikat takaful, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) dan pengendali takaful semula keluarga dan am (MNRB Retakaful Bhd. (MRT).
Menurut Mohd. Din, antara perancangan tersebut adalah untuk memberi fokus kepada takaful semula keluarga yang masih jauh ketinggalan berbanding produk yang hampir serupa di pasaran konvensional pada masa akan datang.
Sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan yang memiliki anak-anak syarikat berkaitan takaful dan insurans semula, ia mempunyai komitmen untuk menyumbang ke arah pembangunan industri tersebut.
" Kami tidak akan mengeluarkan produk kerana MNRB adalah syarikat pegangan pelaburan tetapi kami merancang untuk mengukuhkan sinergi di antara anak-anak syarikat. Mereka akan menghasilkan dan menjual produk-produk yang berdaya saing ini termasuklah takaful semula keluarga," katanya.
Menyentuh mengenai pengukuhan sinergi di kalangan kumpulan, Mohd. Din berkata, ia merupakan satu pelan jangka panjang syarikat untuk membolehkan kesemua anak-anak syarikat bekerja bersama-sama.
"Selama ini, kita biarkan kumpulan ini bergerak sendiri-sendiri tetapi sekarang kita mahu mereka bersama-sama berganding bahu dan menjadi lebih efisien.
"Apa yang penting mereka perlu masukkan sekali Pelan Tindakan Bank Negara, selain menjayakan program-program Pelan Transformasi Ekonomi di dalam setiap perancangan perniagaan, " ujar beliau lagi.
|