Takaful Ikhlas Sasar Tembusi Pasaran Bukan Motor Dan Bukan Islam
Bernama, 22 Jul 2011
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, menyasarkan untuk terus menembusi pasaran bukan motor dan bukan Islam.
Ia bertujuan membolehkan syarikat mengumpul RM900 juta peningkatan premium pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012, berbanding RM760 juta yang direkodkan sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata daripada 30 peratus segmen takaful am, perniagaan motor menyumbang kira-kira 70 peratus manakala bukan motor hanya 30 peratus.
Beliau berkata syarikat itu kini mempunyai 1.8 juta pelanggan, namun hanya tujuh hingga lapan peratus sahaja bukan Islam.
"Kami merancang meneroka segmen baharu ini seperti pasaran bukan Islam dan dan memastikan peniagaan bukan motor ditingkatkan," katanya.
Syed Moheeb berkata syarikat itu yang menguasai 16 peratus bahagian pasaran dalam industri terbabit, merancang melakukan inovasi terhadap produk sedia ada untuk menyesuaikannya dengan segmen pasaran.
"Pertumbuhan syarikat agak kukuh dan kami menjangkakan momentum itu akan berterusan," katanya.
Takaful Ikhlas kini mempunyai 6,000 ejen di seluruh negara.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Al-Madinah International University (MEDIU) untuk kemudahan akreditasi sijil program latihan untuk wakil, petugas dan peserta yang menghadiri latihan dengan Takaful Ikhlas, di sini Jumaat.
MoU dimeterai oleh Syed Moheeb dan Rektor MEDIU, Profesor Dr Muhammad bin Khalifa Al-Tamimi.
Syed Moheeb berkata Takaful Ikhlas membelanjakan antara enam hingga lapan peratus perolehannya untuk pelaburan dalam pembangunan sumber manusia.
MEDIU mempunyai beberapa pusat pembelajaran dalam dan luar negara dan diakreditasi sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Semasa ditanya mengenai berita bahawa Allianz Malaysia Bhd membatalkan rancangan untuk memperoleh kepentingan dalam Takaful Ikhlas daripada MNRB Holdings Bhd, Syed Moheeb berkata syarikat itu menyambut baik mana-mana pihak yang berminat menjadi rakan kongsinya, asalkan ia menambah nilai kepada syarikat itu.
"Sesiapa yang bersedia membantu meningkatkan nilai syarikat serta memenuhi objektif strategik Malaysia sebagai pusat kewangan Islam, akan mendapat perhatian pemegang saham," katanya.
|
|