Sasar jenama nombor satu
3 May 2011
KUALA LUMPUR 2 Mei – MNRB Holdings Bhd. (MNRB) akan tetap mengekalkan pegangan majoritinya dalam Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) meskipun syarikat insurans Islam miliknya itu kini berusaha mendapatkan rakan strategik.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ramlan Abdul Rashid berkata, pengekalan kepentingan itu dibuat kerana Takaful Ikhlas memiliki perniagaan yang bagus dan mampu memberi pulangan lumayan kepada MNRB.
‘‘Kami (syarikat induk Takaful Ikhlas) sedang mencari rakan strategik tetapi kami hanya mahu menjual kepentingan minoriti sebanyak 49 peratus manakala bakinya 51 peratus akan kekal milik MNRB,’’
‘‘Pelupusan itu oleh dibuat kepada syarikat tunggal dan secara gabungan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengakui kekukuhan jenama Takaful Ikhlas menyaksikan banyak pihak yang ‘mengintai’ peluang untuk menjadi rakan strategik syarikat insurans Islam itu termasuk syarikat-syarikat asing.
Ramlan berkata: ‘‘Sebenarnya tidak sukar untuk mencari rakan strategik untuk Takaful Ikhlas kerana ia memiliki nilai dan jenama yang kukuh.
‘‘Tetapi, kami perlu pastikan harga yang ditawarkan untuk Takaful Ikhlas setanding dengan kelebihannya.
‘‘Tujuan MNRB melupuskan pegangan minoriti ke atas Takaful Ikhlas bagi membolehkan ia berkembang ke luar negara, bukan atas masalah kewangan,’’ jelas beliau.
Ramlan berkata, selain Allianz Malaysia Bhd. yang masih dalam rundingan, beberapa syarikat asing juga turut menyatakan minatnya termasuk syarikat-syarikat dari Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Beliau menaruh harapan usaha untuk mencari rakan strategik bagi Takaful Ikhlas dapat dimuktamadkan dalam tempoh 12 bulan hingga 18 bulan.
Katanya, masanya sudah tiba untuk Takaful Ikhlas mengembangkan operasinya kerana pasaran tempatan semakin kompetitif dengan empat lagi lesen baru diluluskan dalam industri itu.
Pada masa yang sama, industri takaful mempunyai masa depan yang baik sekiranya ia mampu meneroka pasaran yang lebih besar di luar sana.
‘‘Kita ambil contoh, negara China dan Indonesia sahaja, masing-masing memiliki 1.3 bilion dan 260 juta penduduk Islamnya yang boleh dijadikan pasaran takaful.
‘‘Malaysia mampu menjadi peserta utama dalam industri ini, sejajar kedudukan sebagai hab kewangan Islam dunia. Inilah masa terbaik bagi Takaful Ikhlas untuk pergi lebih jauh,’’ ujar beliau.
Malah, lebih daripada itu, MNRB mempunyai harapan tinggi buat Takaful Ikhlas untuk menjadikan ia jenama nombor satu di Malaysia, katanya.
|