Takaful IKHLAS sasar RM30.5 juta di Terengganu
1 Nov 2010
KUALA TERENGGANU 31 Okt. - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) mensasarkan peningkatan kutipan sumbangan perniagaan mencecah RM30.5 juta pada tahun ini di negeri ini dengan pembukaan pejabat wilayah terbarunya di Jalan Sultan Zainal Abidin, dekat sini hari ini.
Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis yakin dengan prestasi yang diperlihatkan, peningkatan perolehan melalui perkhidmatan perlindungan kewangan itu dapat dilihat selepas beberapa tahun beroperasi di negeri ini.
Katanya, sejak syarikat itu mula bertapak pada 2007 hingga kini, peningkatan perniagaan di negeri itu amat memberangsangkan dari tahun ke tahun.
"Pada 2007 kita memperoleh sebanyak RM8.2 juta manakala pada 2008 sebanyak RM11.7 juta dan RM13.9 juta pada 2009. Jadi, dengan pembukaan pejabat baru ini kita yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Sehingga bulan ini, kita telah mempunyai kira-kira 500 ejen di seluruh negeri ini dengan peserta seramai lebih 65,000 di mana ia juga bertambah setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Perasmian Pejabat Wilayah Terengganu Takaful Ikhlas di Hotel Primula di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut hadir dan merasmikan pembukaan pejabat baru syarikat itu.
Ia sebahagian daripada usaha memantapkan kedudukan dan perkhidmatan syarikat itu di Pantai Timur.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.
Dalam pada itu, Syed Moheeb berkata, pihaknya dalam usaha meningkatkan penyertaan pemegang sijil Takaful Ikhlas daripada golongan bukan Islam sebanyak dua peratus berbanding pada masa kini.
Jelasnya, kini terdapat lebih tujuh peratus atau 110,000 orang pemegang sijil berkenaan terdiri daripada bukan Islam di negara ini.
Tambahnya, ia perlu bagi membuktikan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan berkualiti, pelaburan dan keuntungan yang lebih telus serta adil tidak kira kaum dan agama yang dianut.
"Pada masa kini, kita melihat golongan bukan Islam lebih gemar menjadi pemegang sijil daripada Takaful Ikhlas dan bukannya syarikat konvensional apatah lagi apabila kita memperkenalkan konsep tabarru' iaitu saham untuk 'akhirat'," jelasnya.
|