TAKAFUL IKHLAS DAN BANK RAKYAT LANCAR PELAN PERLINDUNGAN TAKAFUL AMANI PLUS DI KARNIVAL KEWANGAN BANK NEGARA MALAYSIA

Heading

Heading

19 Jan 2018

ALOR SETAR, 19 Januari 2018 – Bersempena dengan Karnival Kewangan Bank Negara Malaysia yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS), sebuah syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) dengan kerjasama Bank Rakyat hari ini telah melancarkan pelan perlindungan Takaful Amani Plus iaitu pelan perlindungan kemalangan komprehensif yang menyediakan jaminan kewangan terhadap kematian dan hilang upaya semula jadi serta kerugian akibat kemalangan diri untuk pelanggan Bank Rakyat.

Majlis pelancaran pelan perlindungan ini disempurnakan bersama oleh Dato’ Zulkiflee Abbas bin Abdul Hamid, Pengarah Urusan/Presiden Bank Rakyat dan Datuk Hj Ab Latiff Hj Abu Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad. Pelan ini merupakan produk yang telah ditambah baik daripada produk perlindungan Takaful Amani yang dilancarkan pada tahun 2010. Takaful Amani kini mempunyai seramai hampir 800,000 penyertaan daripada pelanggan Bank.

Pelan yang ditaja jamin oleh Takaful IKHLAS ini menawarkan manfaat sehingga RM30,000 bagi kerugian akibat kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat semulajadi disamping manfaat sehingga RM150,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat kemalangan. Pelanggan Bank Rakyat boleh mendapatkan pelan ini dengan sumbangan serendah RM90 setahun atau bersamaan RM0.25 sen sehari. Ia menawarkan tiga pilihan pelan perlindungan yang komprehensif dengan manfaat yang berbeza.

“Perlindungan Takaful Amani Plus merupakan produk perlindungan yang istimewa buat pelanggan Bank Rakyat. Melalui pelan perlindungan ini, pelanggan Bank Rakyat yang menyertainya dapat meringankan beban kewangan apabila berhadapan dengan musibah yang tidak dijangka seperti kematian, hilang upaya semulajadi ataupun kemalangan. Memandangkan sumbangan perlindungan ini tidak membebankan, kami di Takaful IKHLAS berharap para pelanggan Bank Rakyat akan merebut peluang yang ditawarkan ini untuk melindungi diri sendiri serta keluarga mereka”, kata Datuk Hj Ab Latiff bin Hj Abu Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS.

Sementara itu, menurut Dato’ Zulkiflee Abbas, Bank Rakyat berharap dengan lahirnya pelan mampu milik ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah yang sering menyebabkan pengguna tidak berminat membeli pelan perlindungan takaful. Bersempena dengan pelancaran pelan perlindungan tersebut, beliau turut memberikan Takaful Amani Plus secara percuma bagi tempoh setahun kepada 50 orang ibu tunggal di sekitar negeri Kedah. Sebagai bank koperasi Islam penyayang, sumbangan pelan Takaful Amani Plus kepada ibu tunggal pada hari ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat bagi mengurangkan beban kewangan golongan yang memerlukan dengan memberikan pelan perlindungan untuk seisi keluarga.

Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan untuk mendapatkan pelan perlindungan takaful untuk melindungi diri dan keluarga mereka daripada musibah kemalangan dan penyakit kronik yang berisiko menimpa tanpa mengira usia.

Pelanggan yang berminat untuk melanggan Perlindungan Takaful Amani Plus boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan atau menghubungi saluran rasmi Bank Rakyat seperti Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454, laman sesawang korporat, www.bankrakyat.com.mydan Facebook, Bank Rakyat, Bank Pilihan Anda di www.facebook.com/myBANKRAKYAT, di Twitter di twitter.com/myBANKRAKYAT dan Instagram, instagram.com/myBANKRAKYAT untuk sebarang maklumat lanjut

Mengenai Takaful Ikhlas Berhad

Takaful IKHLAS mula beroperasi pada Julai 2003 dan merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities). Pada 5 Mei 2014, Takaful IKHLAS menukar statusnya menjadi syarikat awam. Takaful IKHLAS mempunyai 13 pejabat wilayah yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Perak, Terengganu, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Takaful IKHLAS kini mempunyai lebih 2 juta pemegang sijil (polisi) berdaftar dan juga lebih 6,000 orang ejen.

Mengenai Bank Rakyat

Bank Rakyat ditubuhkan pada 28 September 1954 di bawah Ordinan Syarikat Kerjasama 1948 yang kini merupakan bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan memiliki aset berjumlah RM99.22 bilion berakhir Disember 2016. Sebagai sebuah entiti di bawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Bank Rakyat komited untuk menyokong misi Kementerian untuk mengukuhkan sektor koperasi sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi negara melalui semua usaha dan langkah yang diatur. Sehingga kini, Bank Rakyat mempunyai 147 cawangan dengan lebih daripada 990 mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta 183 Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara.

Heading

Heading