Takaful IKHLAS Raih 2 Anugerah Antarabangsa, Dinobatkan sebagai ‘Penyedia Takaful Terbaik’ daripada Berita Kewangan Islam 2011 dan Majalah Kewangan Islam Euromoney 2012
21 Feb 2012
Kuala Lumpur, 21 Februari 2012 – Jenama Takaful IKHLAS sekali lagi menerima pengiktirafan yang berperstij dengan dua penganugerahan antarabangsa iaitu anugerah Penyedia Takaful Terbaik daripada Berita Kewangan Islam (Islamic Finance New) dan juga Majalah Kewangan Islam Euromoney (Euromoney Magazine) baru-baru ini.
Anugerah yang diterima daripada Berita Kewangan Islam adalah merupakan pengiktirafan buat kali keempat berturut-turut sejak tahun 2008. Anugerah yang dimiliki ini adalah hasil daripada undian di kalangan pengamal dan pemerhati industri kewangan Islam.
Manakala pengiktirafan daripada Majalah Kewangan Islam Euromoney, Anugerah Penyedia Takaful Terbaik, ianya diraih buat kali kedua selepas tahun 2010.
“Kami amat berbangga malah teruja apabila mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa di dalam persekitaran persaingan industri yang boleh dianggap sangat mencabar ketika ini. Anugerah dan pengiktirafan ini menunjukkan bahawa produk-produk Takaful IKHLAS telah mendapat perhatian masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Dato’ Syed Moheeb bin Syed Kamarulzaman.
“Memenangi anugerah tersebut bukan sahaja dapat memperkukuhkan kedudukan kami di dalam industri Takaful ini, malah ianya juga mengesahkan komitmen kami dalam mencapai kecemerlangan. Pastinya anugerah ini akan memacu semangat, agar Takaful IKHLAS terus berada dibarisan hadapan demi memperjuangkan Industri kewangan Islam khususnya perlindungan takaful dengan menawarkan produk-produk yang berinovatif tinggi dan perkhidmatan yang berkualiti,” kata Dato’ Syed Moheeb.
“Secara keseluruhannya, pengiktirafan dan anugerah seumpama ini adalah merupakan kejayaan terhadap Industri Kewangan Islam, dan ini membuktikan bahawa Sistem Kewangan Islam, khususnya Takaful telah berjaya mengukuhkan kedudukannya bukan hanya sekadar di Malaysia sahaja, malah di peringkat Global”, tambah Dato’ Syed Moheeb.
Dato Syed Moheeb mendedikasikan kedua-dua anugerah tersebut kepada Syarikat induknya MNRB Holdings Berhad, ahli-ahli Lembaga Pengarah Takaful Ikhlas Sdn Bhd, para pelanggan, badan pengurusan, Warga IKHLAS, pasukan agensi dan para pelabur di atas sokongan yang tidak berbelah bagi serta kepercayaan kuat yang diberikan selama ini.
Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003 adalah merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad, sebuah Syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.
Takaful IKHLAS yang mempunyai pusat perkhidmatan pelanggannya di Pejabat Korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kuching, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh, Kuala Terengganu dan Putrajaya.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi: En. Hasri Hamidan, Ketua, Jabatan Komunikasi Korporat di talian : 03-27239938 / 012-2444117 atau
faks : 03-27119997 di alamat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. IKHLAS Point, Tower 11 A, Avenue 5, Bangsar South. No 8, Jalan Kerinchi, 59200, Kuala Lumpur.
|